Saturday, 18 October 08, 05:17 PM
Bila melihat kesebelasan utama yang dibariskan oleh Arsene Wenger tadi, aku sudah tidak sedap hati. Aku faham keinginannya untuk merehatkan Walcott, tapi kenapa meletakkan Alex Song di posisi bek kanan? Kenapa bukan Eboue?
Dan aku benar, formasi itu adalah disaster! Arsenal yang bermain di separuh masa pertama berdepan Everton tadi bukan Arsenal yang kukenal. Kecederaan kepada Kolo Toure boleh dikatakan adalah blessing in disguise. Ini bukanlah kritikan kepada Kolo Toure yang merupakan antara pemain favourite aku tetapi kepada formasi itu. Alex Song bukan seorang bek kanan. Noktah.
Kecederaan kepada Toure memberi peluang kepada Song untuk bermain di tengah, dan Eboue sebagai bek kanan. Walcott pula boleh menggunakan kepantasannya untuk menghuru-harakan pertahanan lawan.
Arsenal bermain seperti Arsenal yang aku kenal di separuh masa kedua. Walcott made a difference today. Dan diantara tiga gol yang dijaringkan hari ini, aku paling sukakan gol yang ketiga. Walcott-Diaby-Walcott, goal!!!
Harapnya kemenangan ini boleh menjadi landasan untuk Arsenal mengorak langkah dengan lebih baik selepas ini. Bring on Fenerbahce!
Thursday, 19 June 08, 08:13 AM
Ya, itulah yang aku mahu.
Setelah terkorbannya pasukan kegemaran yang aku ikuti sejak 10 tahun lalu, Perancis... aku akan menyokong Belanda untuk memenangi kejuaraan Euro kali ini. Dan aku mahu melihat Belanda bertemu Croatia di perlawanan akhir.Kenapa Croatia? Kerana aku sukakan corak permainan mereka. Aku tidak pernah sukakan Portugal, jadi aku mengharapkan Portugal tewas kepada Jerman malam nanti.
Sepanyol? Mereka belum tentu akan dapat menewaskan Itali. Dan kalaupun dapat, mereka akan dibenam oleh Belanda di separuh akhir nanti.
Jadi, Belanda bakal juara Euro 2008!
(Itulah ramalan aku, siapa lebih hebat, aku atau Shebby Singh? Hahaha!)
Monday, 16 June 08, 08:31 AM
Saingan Euro2008 sudah masuk minggu yang kedua. Perlawanan peringkat kumpulan hampir tamat. Daripada persembahan setakat ini, pemain manakah yang kalian mahu agar menyarung jersi Arsenal?
Ya, Arsenal telah pun mengesahkan pembelian Aaron Ramsey. Tapi beliau masih muda, menyertai puluhan pemain muda berbakat di Arsenal. Beliau tidak akan mampu memberikan impak serta-merta di Arsenal.
Berbalik kepada soalan asal, ada dua nama yang aku sangat mahu melihatnya bermain untuk Arsenal. David Villa dan Wesley Sneijder.
David Villa, aku kira adalah antara penyerang paling berbisa di dunia buat masa ini. Beliau mengingatkan aku pada Thiery Henry pada zaman kegemilangannya, dua tiga musim yang lalu. Tetapi kemungkinannya untuk dibeli oleh Arsene Wenger adalah sangat kecil. Arsenal sudah punya ramai penyerang; Adebayor, van Persie, Eduardo, Bendtner, Walcott dan Vela. Harganya sudah pasti sangat mahal, dengan persembahan mantap di Euro setakat ini. Chelsea dan Liverpool juga sangat berminat untuk mendapatkannya, walaupun Villa sendiri pernah menyatakan minatnya untuk menyertai Arsenal. Jadi Wenger, apa lagi? Jual Adebayor, beli Villa!
Wesley Sneijder pula mengingatkan aku pada Dennis Bergkamp. Walaupun bermain di posisi attacking midfielder, Sneijder mampu menjaringkan gol-gol yang cantik seperti juga Bergkamp, dan lebih prolifik berbanding pemain Arsenal dengan posisi yang hampir sama iaitu Hleb. Apa yang pasti, Sneijder juga tidak akan dapat dibeli dengan harga yang murah, dan dikatakan akan dijadikan sebahagian daripada tukaran oleh Real Madrid untuk mendapatkan Christiano Ronaldo.
Lain-lain pemain yang aku kira sesuai untuk Arsenal adalah Lukas Podolski (hampir sama dengan van Persie?) dan David Silva (Sepanyol, menggantikan Flamini?).
Bagaimana dengan kalian? Siapa yang kalian mahu untuk menyarung jersi Arsenal?
Friday, 16 May 08, 03:40 PM
Musim 2007/2008 sudah pun berakhir. Sekali lagi Arsenal gagal memenangi sebarang trofi (untuk tahun ke-3 berturut-turut).
Aku akan mulakan penulisan aku di blog Kecek-kecek Arsenal ini dengan reviu ringkas untuk musim yang baru berakhir ini. Pada awal musim yang lalu, ramai 'pundit-pundit' yang menjangkakan Arsenal akan terkeluar dari kumpulan empat pasukan teratas EPL kerana kehilangan Thierry Henry. Aku hanya tersenyum sendiri dengan ulasan-ulasan mereka ini. Jelas mereka ini tidak tahu tentang bola, atau sekurang-kurangnya Arsenal. Pengekor Arsenal pasti menyedari Henry bukan lagi seorang pemain yang dominan dalam pasukan Arsenal pada musim sebelumnya. Dia adalah bayang-bayang Henry dua tiga musim yang lalu.
Hati aku tekad menjangkakan perebutan EPL musim ini akan berlaku antara Arsenal dan Manchester United. Dan Arsenal sekurang-kurangnya akan tamat di tempat ke-2. Aksi cemerlang Arsenal di awal musim menguatkan lagi keyakinan aku. Aku hampir pasti Arsenal akan menang EPL musim ini.
Malang tidak berbau. Kecederaan demi kecederaan. Keputusan-keputusan pengadil yang banyak memberi kelebihan kepada pihak lawan, Arsenal kecundang jua.
Robin van Persie, salah seorang pemain favourite aku yang begitu cemerlang di awal musim, mengalami kecederaan yang berpanjangan. Begitu juga Rosicky.
Dan apabila Eduardo hampir kehilangan kakinya di Birmingham, hatiku mula mengatakan nasib tidak akan menyebelahi Arsenal lagi musim ini. Apatah lagi, Arsenal gagal mempertahankan kelebihan satu gol dan hanya seri 2-2 dalam perlawanan itu. Dan bagi aku, Arsenal kehilangan kejuaraan EPL musim ini apabila hanya mampu seri untuk tiga perlawanan EPL selepas itu; menentang Aston Villa, Wigan dan Boro. Di situlah Arsenal kehilangan mata.
Apapun, aku tetap optimistik untuk musim akan datang. Lupakan Flamini yang telah pergi, atau Hleb yang mungkin akan pergi. Kalau Arsene Wenger mampu mencari pemain seperti mana beliau menemui Sagna dan Eduardo musim lalu, Arsenal akan menang EPL musim depan. Tapi itu adalah untuk dikecekkan pada lain kali. Untuk kali ini, biarlah setakat ini saja.
Jumpa lagi, Gooners!
Wednesday, 14 May 08, 03:03 AM
Passion aku, selain membaca, adalah Arsenal. Aku tidak ingat secara tepat bila aku mula meminati dan mengekori setiap perkembangan Arsenal. Tapi boleh dikatakan sudah hampir sepuluh tahun barangkali.
Kenapa Arsenal? Mudah sahaja. Dennis Bergkamp, Thierry Henry dan Arsene Wenger. Ironinya Bergkamp dan Henry sudah tiada di Arsenal, Wenger juga mula dijadikan sasaran oleh sesetengah pihak (peminat?) sebagai kambing hitam di atas kegagalan Arsenal untuk memenangi trofi sejak tiga tahun berturut-turut. Apapun, pemain dan pengurus datang dan pergi. Tapi peminat akan tetap setia menyokong, bila menang mahupun kalah.
Jadi, blog ini adalah tempat seorang peminat untuk kecek-kecek apa sahaja, tentang apa yang diminatinya, Arsenal. Sudah lama sebenarnya aku berniat untuk memulakan blog khas untuk Arsenal. Tapi asyik bertangguh. Ada beberapa perkara yang menyebabkan aku menangguhkan hasrat itu. Antaranya:
1. Platform - Worpress sudah tentu. Tapi adakah mahu menggunakan wordpress.com atau domain sendiri?
2. Bahasa - Melayu atau Inggeris?
Akhirnya, aku bertemu OleOle. Apa itu OleOle? Jika ada MySpace, Friendster sebagai jaringan sosial, ada iMeem untuk muzik, maka OleOle adalah laman seumpamanya untuk peminat bola sepak. Maka aku memilih OleOle sebagai platform untuk kecek-kecek tentang Arsenal. Dan oleh kerana sudah banyak blog Arsenal berbahasa Inggeris, aku memilih untuk menulis dalam bahasa Melayu.
Selamat datang ke Kecek-kecek Arsenal, dan jangan lupa datang lagi. Suapan RSSnya di sini.
On Intai Euro2008: Akhir Croatia vs Belanda?